11/08/2019

Tanpa sedar anda mungkin seorang PEMBUNUH!


Tanpa sedar anda mungkin seorang PEMBUNUH!


Tanpa sedar anda mungkin seorang PEMBUNUH!


Pada tengah hari Khamis minggu lepas, Bro ada sedikit masa lapang. Jadi Bro gunakan peluang itu untuk menonton siri popular Korea, RunningMan secara online di laman KissAsian.

Sebenarnya, sejak dua bulan lepas Bro merancang menjadikan misi peribadi untuk menonton siri ini secara maraton bermula daripada episod pertama secara berperingkat dan mengikut kelapangan yang hadir. Pada hari itu, Bro menonton episod yang ke-55.

Sulli
Selepas habis menonton episod itu, Bro tergerak untuk menulis artikel ini berdasarkan apa yang telah berlaku kepada salah seorang daripada tetamu jemputan mereka iaitu Sulli. Bro pasti, ramai yang sudah mengetahui berita mengenai kematian bekas ahli grup F(x) itu di media massa, kan?

Jika anda menonton episod itu, pasti tidak akan menyangka. Gadis berperwatakan riang, bertenaga dan tak lekang dengan gelak tawa dalam episod RunningMan itu mampu memilih untuk mengakhiri hidupnya sendiri di usia 25 tahun. Sedih tapi itulah yang terjadi.

Apa mempengaruhi Sulli untuk bunuh diri?

Menurut laporan media massa, Sulli membunuh diri akibat dorongan depresi yang dialaminya, ditambah pula komen-komen jelek yang berterusan oleh warganet. Apa puncanya warganet bertindak sedemikian? Yang itu Bro kurang pasti (jika anda tahu, sila kongsi input anda di ruangan komen). Namun apa yang Bro pasti, satu nyawa sudah pun terkorban.

Jadi dalam artikel ini, Bro ini berkongsi secara am mengenai depresi (kemurungan) dan mengapa komen jelek yang anda tulis mampu mendorong seseorang itu untuk membunuh diri.

Apa itu depresi, sebenarnya?  


Menurut booklet terbitan Kementerian Kesihatan, depresi merupakan...
...gangguan perasaan seseorang yang menyebabkan seseorang itu merasa sedih yang berpanjangan, keletihan dan ketiadaan tenaga, cepat marah serta hilang minat dalam aktiviti harian. Ia berlarutan sekurang-kurangnya dalam masa 2 minggu. Penyakit ini boleh dihidapi oleh sesiapa sahaja tidak kira umur, jantina atau bangsa. Kemurungan boleh berlangsung sehingga berbulan-bulan atau bertahun-tahun.
Tanda-tanda dan gejala depresi adalah seperti:
  • Kesedihan atau “kekosongan” perasaan yang berpanjangan 
  • Hilang minat atau keseronokan terhadap hobi dan aktiviti-aktiviti lain yang biasanya mendatangkan keseronokan 
  • Cepat rasa letih dan tidak ber tenaga 
  • Perasaan pesimistik dan mudah putus asa 
  • Perasaan bersalah 
  • Rasa diri tidak berguna 
  • Gangguan tidur, bangun terlalu awal atau berlebihan tidur 
  • Hilang selera makan dan penurunan berat badan 
  • “Rasa lebih baik mati”, kadangkala disertai dengan percubaan bunuh diri 
  • Rasa tidak tenteram dan mudah marah 
  • Kurang daya tumpuan dan ingatan 
  • Sukar membuat keputusan 
  • Simptom fisiologi seper ti sakit kepala, sakit-sakit badan dan gangguan penghadaman 
  • Kurang nafsu seksual 
  • Pergerakan menjadi terhad/kaku atau menjadi resah gelisah 
  • Mudah cemas atau fobia

Mengetahui gejala depresi, Bro yakin impak dari komen jelek warganet yang berterusan terhadap mendiang Sulli mampu memburukkan lagi depresinya sehingga ke tahap dia membuat pilihan untuk membunuh diri.



Mengapa segelintir warganet suka memberi komen jelek?


Sebenarnya komen jelek yang terlaluan seperti 'hate comments' dan 'body shamming' sudah berlaku sejak dulu lagi. Sebelum wujudnya internet, komen-komen jelek sudah ada di dalam masyarakat. Komen jelek terhadap rupabentuk, kecacatan atau perihal kehidupan seseorang sudah menjadi kebiasaan.

Cuma masa kini selepas adanya Internet, ia menjadi keterlaluan. Dengan hanya semudah menaip di papan kekunci sahaja, sesiapa itu bebas memberikan apa saja bentuk komen kepada sesiapa jua, walaupun tidak mengenali seseorang itu.

Dan Bro pasti, ada di antara warganet yang tidak sedar pun yang mereka sedang melakukannya. Mungkin mereka menganggapnya gurauan.

Jika awalnya mungkin itu benar. Namun apabila gurauan itu menjadi terlaluan, berterusan dan mula memberi kesan kepada seseorang, ianya bukan satu gurauan lagi. Lebih teruk lagi apabila ia dilakukan secara berkumpulan.

Komen jelek adalah hak kebebasan bersuara?


Ada yang berpendapat sebarang pendapat atau komen sama ada positif atau jelek adalah hak mereka untuk bersuara.

Ya. Kebebasan bersuara dan mengeluarkan pendapat adalah kebebasan yang dilindungi dan merupakan hak asasi manusia. Tetapi ia boleh disekat apabila digunakan untuk tuturan bencian (hate speech) sepertimana di dalam undang-undang hak asasi manusia antarabangsa (1).

Dalam Islam pula, kebebasan bersuara dan berpendapat adalah anugerah daripada Allah taala yang perlu digunakan selari dengan ajaran Al-Quran dan Sunnah Nabi s.a.w. yang mengikut tatertib dan adab-adab Islam. Maka, prinsip kebebasan bersuara ditinggalkan dengan harapan untuk membentuk karekter intelektual masyarakat selari dengan kehendak agama (2).

Berdasarkan ini, ternyata komen jelek tidak termaktub dalam hak kebebasan bersuara. Ianya boleh disekat atau dikenakan tindakan undang-undang.

Kesimpulan.


Pemergian Sulli bukanlah kes pertama yang berlaku dalam industri hiburan Korea Selatan. Sudah ada beberapa selebriti yang membunuh diri akibat depresi. Cuma dalam kes Sulli, ia melibatkan komen-komen jelek dari warganet.

Di Malaysia juga ada kes melibatkan selebriti dan komen jelek dari warganet. Tetapi tidaklah sampai membunuh diri. Moga-moga kekal begitulah.

Tapi yang membimbangkan adalah depresi terutamanya dikalangan anak muda apabila Kajian Kesihatan Mental Kebangsaan 2017 membuktikan sekurang-kurangnya satu daripada 10 anak muda atau 10 peratus daripada 5.5 juta belia pernah terfikir untuk membunuh diri. Kajian sama turut menunjukkan satu daripada lima anak muda mengalami depresi (kemurungan) (3).

Nasihat Bro, beringatlah sebelum menulis komen atau memberikan pendapat mengenai seseorang di media sosial. Jaga bahasa kita. Adakah kita mahu apa yang berlaku kepada Sulli, berulang? Mahukah anda menjadi PEMBUNUH bersenjatakan kata-kata?

Tepuk dada tanya selera.

Salam,
Kyrul Nizam
[blogger bukan keyboard warrior]


Rujukan.
  1. Hate speech dan kebebasan bersuara 
  2. Kebebasan Bersuara Pada Pandangan Islam
  3. Depresi pembunuh senyap remaja Malaysia

Subscribe via Email

Don't Miss Any Updates, Stay Connected!